Murid 12 tahun belasah, paksa bogel selepas cinta ditolak

JOHOR BAHRU – Akibat cinta ditolak, seorang murid lelaki 12 tahun bertindak memukul adik lelaki kepada seorang murid perempuan sebaya yang disukainya, awal tahun ini.

Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, mendakwa, kejadian terhadap Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, itu berlaku pukul 5 petang, 21 Februari lalu di sebuah sekolah agama di sini.

“Anak saya dipukul murid lelaki berusia 12 tahun termasuk ditendang, dihentak kepala bahagian kiri dan kanan serta dipaksa bogel.

“Murid berusia 12 tahun itu berbuat demikian kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan anak perempuan saya iaitu kakak kepada mangsa yang menolak cintanya.

“Anak lelaki saya itu merupakan pesakit kanser hidung Adenoid cystic carcinoma (ACC) dan selepas kejadian itu menerima kesannya,” katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, akibat kejadian itu, anak keempat daripada enam beradik itu dimasukkan ke hospital kerana kerap mengadu sakit kepala hingga keadaan tubuhnya lemah

Izzul Islam katanya, menerima rawatan di sebuah hospital swasta di bandar raya ini mulai 12 Mac hingga 26 Mac lalu.

“Dia disahkan mengalami gegaran otak dan saya hanya dimaklumkan kejadian itu oleh anak perempuan saya pada 24 Mac lalu.

“Anak perempuan saya berkongsi kejadian sebenar kerana bimbang keadaan adiknya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Taman Universiti, di sini, pada 26 Mac lalu.

Siti Suhana berkata, dia bagaimanapun kecewa apabila difahamkan kes berkenaan tidak sesuai dibuka kertas siasatan.

“Biarpun anak saya mengalami masalah gegaran otak dan mengakibatkan keluarga kami berdepan pelbagai kesulitan, pelaku tidak diambil tindakan dengan alasan bawah umur dan mungkin bertindak dengan akal tidak waras,” katanya.Menurutnya, dalam situasi berkenaan dia tidak dapat mengambil langkah seterusnya dan tindakan diambil hanya perjumpaan dengan keluarga murid terbabit.

“Sehingga kini saya tidak berpuas hati kerana kesan pada anak saya amat mendalam, dia mengalami gegaran otak hingga tidak mampu menumpukan perhatian kepada pelajaran mahupun terbabit dalam sukan.

“Doktor menyatakan tempoh penyembuhan mungkin memakan masa hingga tiga tahun serta perlu bergantung kepada ubat. Doktor menyatakan anak berdepan risiko sawan sekiranya jatuh atau pengsan,” katanya.

Siti Suhana berkata, lebih malang anaknya menjadi mangsa buli kali kedua pukul 10 pagi, pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai, di sini, hingga terpaksa dimasukkan ke hospital Isnin lalu.

Dia melaporkan kejadian itu pada 15 Ogos lalu supaya anaknya tidak terus menjadi mangsa buli hingga boleh mengancam nyawa.

“Anak saya mengadu pelaku berbeza memukulnya dengan menggunakan tangan di bahagian kepala ketika berada di sekolah kebangsaan tersebut.

“Saya tidak pasti mengapa anak saya menjadi mangsa dan adakah dia dilihat seorang yang lemah kerana berpenyakit hingga diperlakukan demikian.

“Dia diserang kanser hidung sejak dua tahun lalu, Alhamdullilah keadaannya sudah pulih 80 peratus dan hanya mengalami simptom sederhana selepas menerima rawatan sesuai,” katanya.

Siti Suhana berharap perkara seumpama itu diambil tindakan sesuai kerana pelaku boleh mengulangi perbuatannya terhadap mangsa lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, aduan Siti Suhana berada dalam tindakan pihaknya dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor.

“Semalam murid berkenaan dan keluarganya dikunjungi bagi tindakan lanjut,” katanya ketika.- MalaysiaGazette