KUALA LUMPUR – Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sebuah sekolah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor susulan seorang pelajar sekolah berkenaan dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, arahan tersebut adalah sehingga proses siasatan termasuk dakwaan berlakunya kes buli di sekolah terbabit selesai
Tambah beliau, laporan polis berhubung kejadian itu juga telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Pada masa sama, ujar beliau, KPM juga telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
“Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.
“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Menurut waris pelajar berkenaan, mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Difahamkan, keputusan imbasan CT scan mendapati pelajar berkenaan mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya.
Tambahnya, buat masa ini, polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan individu yang berkaitan.
“Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Shazeli menyeru orang ramai tidak membuat andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa.
Tambah beliau, pihaknya komited untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

