Hutang Negeri Sembilan dengan Kerajaan Pusat RM937 juta, tiada hutang baharu selepas 2016 – MB

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak membuat sebarang pinjaman atau hutang baharu dengan Kerajaan Persekutuan selepas 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata jumlah hutang semasa sehingga 31 Disember 2024 adalah sebanyak RM937 juta.

Katanya, Negeri Sembilan setiap tahun tanpa gagal berusaha melunaskan hutang mengikut kemampuan dan kedudukan kewangan kerajaan negeri.

“Seperti mana negeri lain, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali mempunyai hutang dengan Kerajaan Persekutuan.

“Namun begitu, sejak 2016, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang pinjaman atau hutang baharu dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaren mengenai status hutang antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.

Aminuddin (PH-Sikamat) berkata, kerajaan negeri menaikkan peruntukan bayaran hutang pada tahun ini.

“Peruntukan bayaran hutang dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta pada tahun 2025 di bawah Vot Tanggungan T04 – Bayaran Hutang Kerajaan.

“Bayaran sebanyak RM3 juta itu juga dibuat pada 27 Februari lalu,” katanya yang memaklumkan tiada kadar faedah dan tiada tempoh pembayaran dikenakan bagi menyelesaikan hutang terbabit.

Menjawab soalan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diwakili ADUN Chembong, Datuk Zaifuil Bahri Idris, Aminuddin berkata status semasa projek pembangunan (perbelanjaan) yang telah diluluskan bagi suku tahun pertama tahun ini iaitu antara Januari hingga Mac lalu lebih RM27 juta daripada kelulusan peruntukan RM135 juta.

Beliau berkata, prestasi perbelanjaan pembangunan 3 Vot tertinggi yang dicatatkan bagi tempoh berkenaan ialah Vot P50 (Menteri Besar) lebih RM22 juta dan diikuti Vot P63 (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) serta Vot P54 (JPS) masing-masing sebanyak RM1.3 juta.

“Jumlah projek yang dicatatkan bagi suku pertama tahun kewangan 2025 adalah sebanyak 361 projek dengan 31 projek berstatus belum dimulakan, prapelaksanaan (177), dalam pelaksanaan (143) dan yang siap (10),” katanya.