PETALING JAYA: Peguam mewakili empat pelajar dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mengecam Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa cuba mengekspoiltasi kes itu demi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Mereka berkata, tindakan Mohd Shafie melabelkan kes itu sebagai ‘pembunuhan’ serta mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik adalah tuduhan melulu, berbahaya, menjijikkan dan penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.
“Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami. Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang PRN akan datang.
“Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukannya di pentas politik. Ahli politik mempunyai kewajipan untuk menjunjung maruah jawatan awam, bukannya mengapi-apikan sentimen demi kelebihan pilihan raya,” kata mereka dalam kenyataan malam tadi yang dilaporkan FMT.
Peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan mewakili pelajar B, C, D dan E yang berdepan pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina serta dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina.
Mohd Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues dalam klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar di media sosial.
Barisan peguam itu berkata, tindakan Mohd Shafie itu tidak wajar dan jelas merendahkan martabat serta kewibawaan seorang pemimpin.
“Kenyataan pramatang dan tidak bertanggungjawab bukan sahaja melemahkan prinsip bahawa setiap orang yang dituduh hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah, tetapi juga menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina sedang berduka.
“Keadilan mesti ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti serta keterangan, bukannya diputar belit dalam ucapan politik atau di media sosial.”
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi berdekatan longkang di sekolahnya.

