KUALA LUMPUR: Pemain gantian, Paulo Josue membantu KL City FC mengekalkan rentak tanpa kalah dalam Liga Super kepada enam perlawanan selepas jaringan tunggalnya cukup untuk menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Risto Vidakovic mengukuhkan kedudukan di tangga kedua, hanya dua mata di belakang pendahulu yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pada aksi terbabit, peluang terbaik KL City FC hadir pada minit ke-24 namun percubaan Nicolao Cardoso terkena tiang sekali gus menyelamatkan gawang TFC.
Perlawanan terpaksa dihentikan sementara kerana keadaan cuaca yang kurang mengizinkan dan TFC terlepas peluang membuka jaringan apabila sepakan penalti Careca ditepis Quincy Kaammeraad.
Bersambung babak kedua, gawang KL City FC kekal kebal selepas Quincy terus cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Azam Azmi Murad pada minit ke-52.
Perlawanan yang berlangsung dalam permukaan padang basah membuatkan kedua-dua pasukan bergelut untuk mencari sentuhan penyudah.
KL City FC mendapat sepakan penalti pada minit ke-78 selepas Paulo Josue dijatuhkan dan Josue tidak berdepan masalah menewaskan Mohd Suhaimi Husin untuk gol kemenangan tuan rumah.
Selepas ini, KL City akan berdepan Melaka FC di tempat lawan sementara TFC akan melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors (TRW) bagi ‘Derbi Pantai Timur’.

