KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Lembaga Disiplin BERSATU digesa mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa bercanggah dengan dasar parti.
Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata langkah tegas sedemikian penting bagi mengelakkan gejala tidak berdisiplin terus berulang dan menular dalam parti.
Beliau yang juga Pengerusi BERSATU Perak dalam satu kenyataan bersama barisan pemimpin bahagian di negeri itu, menekankan bahawa parti mempunyai saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan serta menyelesaikan perbezaan pendapat.
Justeru, katanya, tindakan mengeluarkan kenyataan terbuka dengan nada mencabar kepimpinan parti adalah perbuatan tidak wajar, malah membuka ruang fitnah serta keraguan terhadap kesatuan saf perjuangan BERSATU.
“Dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap maruah dan perjuangan BERSATU, kami terpanggil untuk menyatakan pendirian tegas berhubung kenyataan dibuat Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama Datuk Suhaimi Ghazali (Ketua BERSATU Bahagian Sepang), Isa Zaidi (Ketua BERSATU Bahagian Ampang) dan Fadhli Ismail (Ketua BERSATU Bahagian Ipoh Timor).
“Kenyataan terbabit bukan saja mengelirukan, malah telah menjejaskan nama baik dan imej parti di mata rakyat.
“Ia langsung tidak mencerminkan disiplin dan adab berorganisasi yang menjadi tunjang serta kekuatan kepada BERSATU sejak awal penubuhannya.
“Kami ingin menegaskan parti mempunyai saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan dan menyelesaikan perbezaan pendapat,” katanya dalam kenyataan bersama itu yang dikongsikan melalui Facebook rasmi beliau.
Beliau berkata, kenyataan itu turut disokong 14 Ketua Bahagian BERSATU Perak membabitkan Mohader Ahmad Mohammad Ayob (Batu Gajah), Mohammad Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat), Datuk Azhar Anuar (Bagan Datuk), Dr Hashim Bujang (Kuala Kangsar) dan Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (Tanjong Malim).
Selain itu, Kader Maideen Hussain (Taiping), Khairul Azuan Mohamed Noor (Lenggong), Mohd Azrien Mohd Salleh (Lumut), Md Nayan Salleh (Parit Buntar), Ahmad Lutpi Abdul Wahab (Sungai Siput), Ruslan Shaari (Gerik), Ahmad Faisal Mansor (Beruas), Ismail Ali (Bagan Serai) dan Hishammudin Tajuddin (Parit).
Turut menyokong kenyataan bersama itu ialah Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tambun, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, seluruh ahli BERSATU pada semua peringkat diseru kekal teguh dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan barisan kepimpinan parti, sekali gus tidak terpengaruh dengan mana-mana gerakan yang boleh merosakkan nama baik parti.
Isnin lalu, Wan Saiful dilapor mendedahkan bahawa beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video tular membabitkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Sandakan, Sabah, pada 2019 sebagai tulen.
Sehubungan itu, Wan Saiful mendakwa bahawa Mohamed Azmin tidak layak untuk menjadi pemimpin BERSATU selagi kontroversi berhubung video terbabit tidak diselesaikan.
Wan Saiful pada sidang media sama turut mendakwa akuan bersumpah (SD) yang dikumpul membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden BERSATU, sebaliknya ia hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin bagi menyusun pelan peralihan parti.

