KUALA LUMPUR: Malaysia bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada Filipina berikutan gempa bumi di Cebu dan kawasan sekitarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut bersedih dengan nasib rakyat Filipina yang terkesan gempa bumi dahsyat itu.
“Malaysia sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan termasuk usaha pemulihan kawasan terjejas.
“Kehilangan dan penderitaan yang ditanggung oleh begitu banyak keluarga amat dirasai. Malaysia turut berkabung bersama rakyat Filipina dalam saat duka ini.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang tulus ikhlas kepada kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.
“Doa dan ingatan kami juga bersama mereka yang cedera, yang kehilangan tempat tinggal serta semua yang kehidupannya terjejas akibat tragedi ini.
“Malaysia berdiri teguh bersama Filipina. Kami akan melakukan apa yang termampu untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan.
“Kami berdoa agar kekuatan serta ketabahan rakyat Filipina akan membantu mereka melalui hari-hari sukar ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sekurang-kurangnya 60 orang terkorban dan 147 cedera dalam gempa bumi berukuran 6.9 yang melanda kawasan tengah Filipina.
Bencana alam itu menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan, jalan raya dan bekalan elektrik.
Pihak berkuasa bimbang jumlah korban akan meningkat berikutan ramai mangsa dikhuatiri terperangkap di bawah bangunan runtuh.

