‘Cucuk rapat’ tak sempat brek punca kemalangan 9 kenderaan di SILK

KAJANG: Tindakan seorang pemandu kereta memandu terlalu rapat mengakibatkan kemalangan sembilan kenderaan di Kilometer (KM) 25.7 Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata sejurus tiba di lokasi, pemandu terbabit masuk ke lorong bersebelahan bagi mengelak kereta hadapan yang membrek mengejut.

Menurutnya, pemandu berkenaan cuba mengelak kenderaan di hadapan kerana tidak sempat berhenti berikutan berada terlalu rapat lalu berlaku kemalangan membabitkan empat buah motosikal dan beberapa kereta.

“Tiga penunggang cedera – patah tangan, luka di muka serta anggota badan dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan manakala lain-lain pemandu dan penunggang tidak cedera.

“Kemalangan membabitkan lima kereta – Perodua Aruz, Perodua Alza, Land Rover, Perodua Bezza serta Perodua Myvi dan empat motosikal iaitu dua Honda RS150, Wmoto Xtreme serta SYM VF3I,” katanya dalam kenyataan hari ini.PlayNextMute

Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 hingga RM10,000.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496,” katanya.