Ahet sanggup tempuh perjalanan 20 jam demi Kuching City

KUALA LUMPUR: Ketika ada yang menganggap saingan Liga Malaysia (Liga M) makin kurang mendapat sambutan, namun sebenarnya masih ada lagi penyokong tegar yang sanggup berkorban demi pasukan kesayangan mereka.

Penyokong Kuching City, Ahet Jenis sanggup berkorban masa menempuh perjalanan jauh dan menghabiskan wang hanya untuk menyaksikan kemenangan pasukannya itu di depan mata.

Demi menyaksikan sendiri aksi tetangga Borneo antara Kuching City menentang Sabah FC di Stadium Likas, Sabtu lalu, Ahet menempuh perjalanan panjang dari Kuching ke Kota Kinabalu yang mengambil masa hampir 20 jam.

Situasi itu cukup untuk menggambarkan sokongan mendalam peminat berusia 66 tahun itu terhadap Kuching City meskipun The Cats boleh dianggap bukanlah pasukan ternama dalam Liga M, malah aksi itu juga bukan perlawanan besar seperti separuh akhir atau final.

Ahet menjelaskan perjalanannya bermula dari Kuching sebelum singgah bermalam di Miri dan keesokan paginya meneruskan perjalanan dengan melintasi sempadan Brunei sebelum tiba di Kota Kinabalu.

“Kalau ikut kiraan, lebih kurang 12 jam dari Kuching ke Miri dan dari Miri ke Kota Kinabalu pula sekitar lapan ke sembilan jam.

“Bila bercakap mengenai kos pula, minyak saja lebih kurang RM800, belum termasuk hotel dan makan. Namun, semua itu tidak penting, janji dapat tengok Kuching City menang depan mata,” katanya.

Perjalanan yang ditempuh bersama tiga lagi ahli keluarganya bukan sesuatu yang mudah, bahkan penat lelah dan kos yang dikeluarkan bukan penghalang buat mereka menjejakkan kaki ke Stadium Likas.

“Perasaan memang gembira kerana dapat saksikan sendiri Kuching City menentang Sabah. Sebagai peminat, itu satu kepuasan yang tak boleh digambarkan.

“Saya peminat bola sepak dari dulu, jadi berapa pun modal, yang penting saya gembira dapat jadi penyokong setia Kuching City,” katanya.

Prestasi memberangsangkan yang dipamerkan Kuching City sejak awal musim ini dilihat berjaya menarik peminat mereka untuk hadir membanjiri stadium terutama membabitkan aksi di gelanggang sendiri, Stadium Negeri, Kuching.

Kejayaan menundukkan Sabah 1-0 menjadi kemenangan keempat diraih skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu dalam enam perlawanan musim ini dan meletakkan mereka di kedudukan keempat liga dengan mengumpul 13 mata.

Terengganu FC (TFC) yang turut mengumpul 13 mata berada di kedudukan ketiga, tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Kuala Lumpur (KL) City manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) memimpin saingan dengan menghimpun 21 mata.