Isu di sekolah: Semuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial

PUTRAJAYA – Perdana Menteri akan mempengerusikan satu mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan isu-isu berkaitan sekolah yang semakin membimbangkan.

Datuk Seri Anwar berkata, masalah yang berlaku di dalam sekolah kini semakin serius dan ia bukan sahaja menjejaskan disiplin pelajar malah turut memberi kesan terhadap pentadbiran sekolah dan keharmonian keluarga.

Menurut beliau, antara perkara yang akan diberi tumpuan adalah mengenai ketagihan pelajar terhadap telefon bimbit dan penggunaan media sosial yang berlebihan.

“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Saya sudah komen tentang sekolah terbabit, tetapi apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, aplikasi.

“Jadi mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri untuk membincangkan perkara ini. (Kerajaan) harus ambil tindakan tegas,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi Bulan Oktober 2025 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat mati ditikam seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Selangor, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Tambah beliau, mesyuarat khas itu penting bagi memastikan kerajaan dapat mengambil langkah tegas dan menyeluruh dalam menangani gejala yang semakin menular di kalangan pelajar.

Polis semalam mengesahkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama ditikam hingga mati oleh rakan sekolah lelakinya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilapor mengesahkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan berhubung kes berkenaan.

Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman di bahagian badan. – MalaysiaGazette