GEORGE TOWN – Polis telah mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang ejen insurans yang ditemukan mati dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Butterworth pada 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mereka terdiri daripada individu yang menemui mayat dan kereta mangsa.
“Setakat ini tiga orang telah dipanggil untuk dirakam percakapan iaitu mereka yang menjumpai mayat dan kenderaan mangsa.
“Siasatan masih berjalan dan usaha mengesan suspek yang terbabit sedang diteruskan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan majlis peluncuran PDRM Penang International 2nd Bridge Solidariti yang akan diadakan di negeri itu pada 3 Januari 2026.
Seramai 3000 peserta dijangka menyertai acara berkenaan.
Media sebelum ini, melaporkan mayat ejen insurans ditemui dalam keadaan kesan kelar pada leher, tangannya diikat serta mukanya diserkup plastik oleh pekerja penyelenggaraan longkang kira-kira pukul 1.43 tengah hari pada 9 Oktober lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan bedah siasat yang diperoleh daripada pakar forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), punca kematian mangsa adalah akibat sesak nafas.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

