Mayat dalam bagasi, polis ambil keterangan 3 individu

GEORGETOWN: Polis sudah mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang ejen insurans dalam sebuah bagasi berhampiran sebuah pangsapuri di Ampang Butterworth, pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata individu dipanggil itu termasuk saksi yang menemukan mayat dan kereta mangsa.

“Setakat ini tiga saksi sudah dipanggil bagi diambil keterangan termasuk orang yang menemukan mayat dan kereta mangsa.

“Kita giat mengesan suspek yang terbabit dan berharap dia dapat dikesan dalam masa terdekat bagi merungkai kes ini,” katanya selepas Majlis Peluncuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Penang International 2nd Bridge Solidarity 2026 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas dakwaan mangsa dibawa ke bank sebelum dilaporkan hilang, Azizee berkata siasatan masih diteruskan.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat ejen insurans, Lee Boon Han, 31, oleh seorang pekerja penyelenggaraan longkang kira-kira jam 1.43 tengah hari.

Azizee berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat itu ditemukan dalam beg dengan keadaan leher cedera, tangan diikat dan kepala diserkup menggunakan plastik.

Beliau berkata, punca kematian mangsa kerana sesak nafas berdasarkan laporan bedah siasat diterima daripada pakar forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.