Hanya keajaiban halang kemaraan Selangor, Kuching City

KUALA LUMPUR: Aksi pertama suku akhir Piala FA sudah berakhir dengan dua pasukan boleh dikatakan hampir sebelah kaki untuk meneruskan langkah ke separuh akhir.

Dua pasukan itu, Kuching City FC (KCFC) dan Selangor FC (SFC) berjaya membawa bekalan selesa menuju aksi suku akhir kedua dengan perlawanan akan berlangsung di laman sendiri.

KCFC di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak merakam kemenangan selesa 4-1 ke atas Terengganu FC (TFC) sekali gus memiliki kelebihan tiga gol menjelang aksi kedua.

The Red Giants pula ‘mengamuk’ atas kekalahan 1-2 pada aksi Liga Super selepas membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0 sekali gus lawan tampak memerlukan keajaiban untuk bangkit di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pengendali SFC, Christophe Gamel memuji mentaliti pemainnya yang sentiasa berada di tahap tertinggi sekalipun berdepan cabaran sengit daripada NSFC.

“Ini kemenangan yang baik tetapi kami perlu kekal fokus dan sentiasa menunjukkan semangat juang dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Kita perlu terus bergerak ke hadapan dan menunjukkan mentaliti seperti ini,” katanya.

Sementara itu, dua lagi slot dilihat sengit dengan peluang empat pasukan masih terbuka khususnya buat pasukan yang tumbang pada aksi pertama suku akhir sebelum ini.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras apabila sekadar meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Penang FC.

Namun berdasarkan reputasi dan kekuatan skuad yang dimiliki skuad bimbingan Xisco Munoz itu, mereka sepatutnya tidak berdepan masalah untuk meraih slot ke separuh akhir.

Kelantan The Real Warriors (KRW) pula masih berpeluang untuk terus mencipta kejutan apabila hanya ketinggalan 1-2 di tangan Sabah FC.