Rp13.25 trilion nilai rasuah berjaya dipulangkan semula kepada Indonesia

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap Peguam Negara, Sanitiar Burhanuddin serta Jabatan Peguam Negara atas kejayaan memulangkan dana negara berjumlah Rp13.25 trilion (RM3.9 bilion) susulan kes rasuah besar dalam sektor minyak sawit.

Prabowo berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen dan ketegasan institusi penguatkuasaan undang-undang negara, sekali gus menggesa mereka supaya terus berjuang tanpa rasa takut atau leka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Peguam Negara. Tapi ingat, perjuangan kita belum selesai. Jangan gentar, jangan malas, jangan menyerah,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan aset yang dipulangkan, di Pejabat Peguam Negara, semalam.

Presiden turut menegaskan kepentingan sosial dan ekonomi daripada pemulangan dana berkenaan.

“Jumlah itu mampu digunakan untuk membaik pulih lebih 8,000 sekolah, membina kira-kira 600 perkampungan moden nelayan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Ini bukan jumlah kecil. Rp13 trilion boleh digunakan untuk kepentingan rakyat, pembangunan dan masa depan negara,” katanya.

Prabowo turut mengecam tindakan pihak tertentu yang mengaut keuntungan daripada sumber alam negara, sedangkan rakyat biasa terus dihimpit kesusahan.

“Tanah dan air kita dijarah dan dibawa keluar negara, tapi rakyat kita sendiri terpaksa beratur untuk dapatkan minyak masak selama berminggu-minggu. Itu kejam, tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Sempena ulang tahun pertama pentadbirannya, Prabowo menyifatkan pemulangan dana berkenaan sebagai pencapaian penting, melambangkan komitmen kerajaan untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

“Ini kerja mulia dan kita mesti selamatkan kekayaan negara. Indonesia negara kaya, jika kita tadbir dengan keberanian dan integriti, negara akan bangkit dengan cepat,” katanya.

Kes rasuah terbabit berpunca daripada manipulasi dasar Kewajipan Pasaran Domestik (DMO) pada awal 2022, apabila beberapa syarikat besar lebih mengutamakan eksport minyak sawit mentah (CPO) dan produk hilirannya demi meraih keuntungan berlipat ganda.

Ini susulan harga pasaran antarabangsa yang melambung tinggi, iaitu sekitar AS$1,628 satu tan (Rp23.6 juta), jauh melebihi harga pasaran tempatan sebanyak Rp14,250 seliter.

Siasatan mendedahkan wujudnya amalan rasuah membabitkan pegawai Kementerian Perdagangan bagi mendapatkan kelulusan permit eksport, yang akhirnya mengakibatkan kekurangan minyak masak serta kenaikan harga mendadak di pasaran domestik.

Pada Oktober 2025, Mahkamah Agung memutuskan 17 entiti korporat daripada tiga kumpulan perniagaan utama iaitu Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group bersalah dalam keputusan terakhir.

Mahkamah menjatuhkan denda keseluruhan berjumlah Rp17.7 trilion dan mengarahkan Rp13.25 trilion dikembalikan kepada perbendaharaan negara.

Langkah tegas itu dilihat sebagai permulaan era baharu dalam penguatkuasaan undang-undang ekonomi di bawah kepimpinan Prabowo, sekali gus menghantar mesej jelas bahawa tiada siapa yang terkecuali daripada undang-undang.