Kotak hitam nahas pesawat kargo di lapangan terbang Hong Kong ditemui

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong menemui kotak hitam perakam penerbangan pesawat kargo yang terbabit nahas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, baru-baru ini.

Insiden berlaku apabila pesawat kargo Boeing terbabas dari landasan ketika mendarat, melanggar sebuah kereta rondaan keselamatan sebelum terjunam ke laut.

Kejadian itu disifatkan antara insiden paling buruk sejak lapangan terbang berkenaan mula beroperasi pada 1998.

Dua pegawai keselamatan dilaporkan maut dalam insiden berkenaan. Pihak berkuasa memaklumkan kedua-duanya berada di kawasan yang sepatutnya selamat iaitu di luar kawasan landasan.

Dalam kenyataan hari ini, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong berkata, satu daripada enjin pesawat serta sistem gear pendaratan turut berjaya dikeluarkan bersama kotak hitam perakam data penerbangan.

Biro Pengangkutan dan Logistik Hong Kong memaklumkan, laporan awal hasil siasatan akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

Pihak berkuasa turut mengesahkan agensi penyiasatan kemalangan penerbangan Amerika Syarikat (AS) dan Turkiye, selain pakar daripada Boeing, kini terbabit dalam siasatan berkenaan.

Syarikat penerbangan Emirates Airlines pula memaklumkan pesawat terbabit adalah pesawat sewa jangka pendek daripada Act Airlines yang berpangkalan di Istanbul dan dikendalikan oleh syarikat itu ketika nahas berlaku. – AFP