Peniaga ikan hiasan didakwa cabul remaja dalam van

MUAR: Peniaga ikan hiasan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan dalam van, minggu lalu.

Tertuduh, Gan Tien Joo, 55, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa kepada dua anak didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah van yang diparkir tepi jalan di Batu Pahat, jam 11.30 malam, 21 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan serahan dokumen.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh berkomunikasi atau mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 10 Disember ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.