KUALA LUMPUR: Bank Dunia menjelaskan bahawa kertas kerja terbaharunya mengenai pencen sosial di Malaysia tidak menumpukan kepada isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau umur persaraan minimum, sebaliknya membincangkan program bantuan sosial bukan caruman seperti Bantuan Warga Emas (BWE).
Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Dunia berkata laporan bertajuk “Should Malaysia Expand its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options” itu menilai keberkesanan dan reka bentuk skim pencen sosial bukan caruman, khususnya BWE, dan bukannya sistem caruman seperti KWSP.
Menurutnya, sebarang perbincangan mengenai ‘umur kelayakan’ dalam laporan itu merujuk kepada program Bantuan Warga Emas dan bukannya umur persaraan rasmi.
“Kami mendapati hanya kira-kira empat peratus warga emas di Malaysia kini menerima bantuan ini. Oleh itu, kami mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan peluasan liputan kepada lebih banyak isi rumah B40.
“Dalam konteks ini, kami menyebut bahawa banyak negara lain menggunakan umur 65 tahun sebagai penanda aras kelayakan bagi mengawal kos fiskal program seumpama ini,” katanya.
Sebelum ini, BH melaporkan bahawa Bank Dunia berpendapat umur akses pengeluaran simpanan KWSP pada 55 tahun dianggap terlalu rendah bagi struktur demografi Malaysia yang semakin menua. Laporan kajian terbaharunya mencadangkan umur akses antara 65 dan 70 tahun bagi menyesuaikan dengan perubahan demografi.
Bank Dunia berkata, umur akses yang lebih tinggi untuk pengeluaran persaraan juga akan membolehkan faedah purata yang lebih tinggi bagi penerima pencen sosial.
Menurutnya, perbincangan mengenai umur persaraan minimum bukanlah fokus utama kertas kerja berkenaan, namun isu itu disentuh dalam kajian terdahulu yang mencadangkan kenaikan secara berperingkat selaras dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia yang kini melebihi 75 tahun.
“Cadangan ini dibuat berdasarkan cabaran yang dihadapi akibat penuaan penduduk yang semakin pesat, yang memberi kesan terhadap keselamatan kewangan warga emas.
“Kami tidak menetapkan umur persaraan tertentu, sebaliknya menekankan keperluan perbincangan masyarakat dan pelaksanaan secara berperingkat, bukan secara mendadak,” katanya.
Mengenai umur pengeluaran simpanan KWSP, Bank Dunia menjelaskan bahawa analisis terdahulu mencadangkan ia diselaraskan dengan umur persaraan minimum bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan dalam jangka panjang.
“Ini kerana pengeluaran simpanan sebelum bersara boleh menjejaskan keupayaan kewangan pesara dan menyebabkan simpanan cepat habis. Di kebanyakan negara, simpanan persaraan hanya boleh diakses apabila mencapai umur persaraan,” katanya.
Bank Dunia turut menegaskan bahawa isu ini berkait rapat dengan reka bentuk pencen sosial bukan caruman, kerana kekurangan simpanan selepas bersara akhirnya akan meningkatkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.
“Kami menghargai minat awam terhadap isu ini dan ingin menegaskan kepentingan membezakan antara skim caruman seperti KWSP dan program bantuan sosial bukan caruman seperti Bantuan Warga Emas dalam sebarang perbincangan mengenai dasar persaraan,” katanya.

