KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain import berhubung skandal pemalsuan dokumen.
Berikut kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh FIFA:
Jawatankuasa Rayuan FIFA telah membuat keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano – terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA berkaitan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dan penipuan.”

Selepas meneliti hujahan serta mengadakan sesi pendengaran, jawatankuasa itu memutuskan untuk menolak rayuan dan mengekalkan sepenuhnya hukuman yang dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain berkenaan.
Antara hukuman yang disahkan ialah:
•Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA.
•Tujuh pemain terbabit — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — masing-masing diperintahkan membayar denda sebanyak CHF2,000 kepada FIFA.
•Selain itu, ketujuh-tujuh pemain turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
FAM dan para pemain berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan itu.
Mereka mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis bersebab, dan selepas penerimaan keputusan itu, pihak terbabit mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

