Polis tumpas 3 sindiket sekitar Lembah Klang, rampas dadah RM16.01 juta

KUALA LUMPUR: Menyembunyikan syabu seberat 205 kilogram (kg) dalam dua kenderaan, sebelum dipasarkan – itu antara taktik digunakan tiga sindiket pengedaran dadah berbeza yang ditumpaskan polis di sekitar Lembah Klang.

Semua sindiket itu ditumpaskan hasil tiga operasi berasingan dijalankan Jabatan Siasatan jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kuala Lumpur pada 29 April lalu, selain Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata selain menyembunyikan dadah dalam kereta, sindiket turut menjadikan lot kedai dan unit kondominium sebagai tempat menyimpan dadah yang secara keseluruhan bernilai RM16.01 juta.

“Dalam operasi sama di sekitar Lembah Klang ini, polis berjaya lima lelaki termasuk seorang warga asing hasil risikan serta maklumat awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas serbuan itu, katanya sindiket pertama dikesan beroperasi di sekitar Ampang dengan dua lelaki termasuk seorang warga Filipina diberkas susulan serbuan pada 29 April lalu.

“Pemeriksaan terhadap sebuah kereta dinaiki suspek di Jalan Memanda 1 di Ampang Jaya, menemukan 56 bungkusan syabu seberat 58.42kg.

“Siasatan lanjut membawa satu lagi serbuan ke atas kereta yang menyimpan 146.76kg syabu di Jalan Madrasah di Taman Melati, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 205kg dengan nilai RM6.56 juta.

“Sindiket dipercayai menerima bekalan dari Kelantan sebelum disimpan dalam kenderaan dan diedarkan sekitar Lembah Klang.

“Ini dipercayai kali pertama mereka beroperasi di sini (Kuala Lumpur) dan kedua-dua suspek direman 10 hari bermula 30 April hingga 9 Mei ini,” katanya.

Dalam serbuan kedua pada Isnin lalu pula, Rusdi berkata seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama 1.86 gram syabu.

“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah lot kedai di pusat beli-belah di Jalan Imbi yang dijadikan stor dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 221kg syabu dianggarkan bernilai RM7.07 juta. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Februari dan menyimpan dadah di lokasi tumpuan awam bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau dan positif dadah methamphetamine itu direman enam hari hingga 11 Mei,” katanya.

Serbuan ketiga yang dijalankan 6 Mei lalu pula membawa kepada penangkapan dua lelaki berusia 23 dan 33 tahun di sebuah kondominium mewah di Taman Mastiara, di mana polis menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, pil dan serbuk ecstasy serta Erimin Five dengan jumlah keseluruhan rampasan lebih 17kg bernilai RM2.38 juta.

“Turut disita wang tunai RM320,250 dan dua kenderaan. Sindiket dipercayai menggunakan kondominium mewah sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah,” katanya.

Semua rampasan dalam ketiga-tiga kes ini boleh menampung penggunaan seramai 3.2 juta penagih dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.