KUALA LUMPUR: Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei membuktikan keserasian dengan pasangan baharu masing-masing apabila mara ke suku akhir Terbuka Taiwan 2025 di Taipei Arena, hari ini.
Ee Wei yang bergandingan dengan Loo Bing Kun mara selepas menewaskan beregu dari Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun 15-21, 23-21, 21-8 dan ia dilihat sebagai satu tanda positif buat mereka menjelang kejohanan seterusnya di Terbuka Thailand dan Masters Malaysia.
Bing Kun-Ee Wei dijadual menentang beregu Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang menewaskan wakil tuan rumah, Lu Ming Che-Hung En-Tzu 21-14, 21-16.
Sementara itu, Tang Jie yang digandingkan bersama Chan Wen Tse turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan beregu Indonesia, Marwan Faza-Aisyah Salsabila 18-21, 21-18, 21-17 dalam tempoh 51 minit.
Tang Jie-Wen Tse selepas ini dijadual mengharungi satu lagi cabaran menentang wakil Indonesia, Bobby Setiabudi-Melati Daeva Oktavianti, esok.
Bobby-Melati melakar kejutan apabila menewaskan pilihan kedua dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-11, 21-16 dalam tempoh 26 minit.
Terdahulu, Tang Jie dan Ee Wei dipisahkan selepas berlaku perselisihan faham dengan Piala Sudirman baru-baru ini menjadi pentas pertama mereka bergandingan semula.
Tang Jie-Ee Wei sebelum ini dilaporkan bakal ‘disatukan’ semula di Terbuka Singapura dari 27 Mei hingga 1 Jun ini.

