Sindiket penyeludupan migran “Pade Ajak” tumpas di Kuala Selangor

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang dikenali sebagai “Pade Ajak” menerusi siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Selangor pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut merupakan hasil risikan dan maklumat awam yang diterima sebelum tindakan dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA serta Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis yang dijadikan lokasi transit bagi migran sebelum diseludup keluar ke Indonesia secara haram.

“Premis berkenaan beroperasi di sebalik sebuah kedai runcit dan kedai makan yang lengkap dengan kemudahan tempat tinggal, bilik air serta dapur.

“Hasil serbuan itu, JIM berjaya menahan sembilan warga Indonesia terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun serta dua transporter lelaki, masing-masing warga Nepal dan Indonesia yang berperanan mengangkut migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut disita sebuah kenderaan Toyota Innova yang digunakan untuk membawa migran ke lokasi seterusnya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama yang mana pasukan operasi berjaya menahan enam migran warga Indonesia (tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun) serta dua penjaga rumah, seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Nepal.

Siasatan awal mendapati, semua migran itu ditempatkan sementara sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di sekitar perairan Kuala Selangor.

“Kebanyakan mereka mengaku mendapatkan khidmat sindiket melalui akaun media sosial.” ujarnya.

Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki sebagai dalang utama dan transporter sindiket.

Sebuah kenderaan Perodua Alza dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil bayaran migran turut dirampas.

Tegas beliau, pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket terbabit dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan pusat pengumpulan migran bagi keluar dan masuk secara haram.

Individu berkenaan katanya, akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

“Siasatan mendapati sindiket “Pade Ajak” aktif beroperasi sejak awal tahun 2023 dengan rangkaian ejen di Malaysia serta dalang utama di Indonesia.

“Mereka menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,100 bagi setiap individu menjadikan keuntungan keseluruhan dianggarkan mencecah RM504,000,” tambahya.

Katanya, operasi ini turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Zakaria berkata, komitmen tegas JIM dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” tegasnya.

Beliau menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah penyeludupan migran dan pemerdagangan orang melalui saluran rasmi aduan JIM. – MalaysiaGazette