KUALA LUMPUR – Kegiatan sekumpulan lelaki tempatan yang mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi terbongkar selepas mereka diberkas dalam serbuan polis di Setapak, di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Lazim Ismail, berkata serbuan dijalankan jam 5 pagi, pada 11 November lalu.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak bekerja dan sudah giat menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu.
“Mereka beroperasi dengan modus operandi mencari penutup manhole di kawasan tertentu sebelum membuka penutup berkenaan dan meletakkan kon keselamatan seolah-olah sedang melakukan kerja penyelenggaraan.
“Seorang remaja berusia 17 tahun berperanan sebagai pembuka manhole manakala yang lain memotong kabel.
“Hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki berkenaan berumur dalam lingkungan 17 hingga 42 tahun tidak mempunyai kebenaran dari pihak Telekom Malaysia untuk menjalankan apa-apa pekerjaan di lokasi tersebut.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk mencuri kabel termasuk pemotong, gerudi, mesin penarik kabel, sebuah lori.
“Turut dirampas, sebuah van, sebuah kereta Perodua Myvi, beberapa batang kunci yang telah diubahsuai, pakaian keselamatan, sarung tangan serta 15 batang kabel pelbagai saiz,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Jelasnya, semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan yang dirampas mendapati tiada rekod hilang, namun hasil pemeriksaan lanjut menunjukkan beberapa suspek mempunyai rekod jenayah lampau antara satu hingga 30 kes, termasuk kes narkotik.
“Seorang lelaki berumur 35 tahun yang memiliki 18 kes jenayah lampau, seorang berumur 28 tahun dengan enam kes, seorang lagi berusia 42 tahun dengan 30 kes, manakala seorang lelaki berumur 20 tahun mempunyai 10 kes lampau.
“Seorang suspek berumur 31 tahun pula memiliki lapan kes jenayah dan dua kes narkotik serta masih dikehendaki polis, manakala seorang remaja berumur 17 tahun tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut pada hari sama sekitar jam 10 pagi, pasukan polis yang dipandu arah oleh salah seorang suspek berjaya menemui sebuah lori jenis Daihatsu di kawasan Jinjang, Kuala Lumpur.
Semakan mendapati lori itu telah dilaporkan hilang sejak 5 November lalu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Serbuan susulan pada 12 November kira-kira jam 1.15 tengah hari di sebuah tapak di Setapak pula menemui lokasi kegiatan pemprosesan kabel curi yang dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang mengaku sebagai penjaga kawasan tersebut.
“Pemeriksaan di lokasi berkenaan membawa kepada rampasan 30 batang sarung kabel yang telah dipotong pendek, enam keping pembalut aluminium kabel yang telah dikupas, segulung dawai besi berkarat dan gumpalan wayar tembaga seberat kira-kira 10 kilogram,” katanya.
Lazim berkata, kerugian dialami pihak Telekom Malaysia dianggarkan mencecah RM300,000, manakala harga jualan tembaga curi dianggarkan sekitar RM16 sekilogram.
Reman terhadap lima suspek lelaki tempatan diluluskan selama tiga hari sehingga 14 November, manakala seorang suspek bawah umur direman sehari hingga 12 November.
“Bagi tangkapan baharu, reman selama tiga hari hingga 15 November turut dibenarkan.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan semua suspek dalam kes curi kabel lain sekitar kawasan pentadbiran IPD Wangsa Maju,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

