Wanita maut, tunangnya cedera selepas kereta terbalik dalam kemalangan

MUAR – Seorang wanita maut tercampak keluar manakala tunangnya cedera selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 134.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku pukul 3.15 pagi berhampiran susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh.

“Kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki pasangan terbabit dengan sebuah lori Volvo FL10. Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta tersebut melanggar belakang bahagian sisi kanan lori sebelum hilang kawalan dan terbalik di lorong kanan lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, akibat kemalangan tersebut mengakibatkan wanita berkenaan yang duduk di kerusi penumpang berusia 30 tahun tercampak keluar dari kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat manakala pemandu kereta tersebut iaitu lelaki berusia 29 tahun cedera di bahagian kepala dan tangan.

Pemandu tersebut pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Akibat kemalangan tersebut berlaku kesesakan trafik hampir dua jam dengan aliran kenderaan perlahan sepanjang lima kilometer sebelum kerja-kerja penyuraian dan pembersihan selesai,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun.- MalaysiaGazette