Ops SAR lelaki hilang dihanyutkan arus deras Sungai Klang diteruskan

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki bersama sebuah kereta yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di sini masih diteruskan hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan berkata, operasi pencarian diteruskan tebing sungai dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bermula pukul 9 pagi.

“Antara kaedah digunakan adalah pencarian di permukaan air melalui susur Sungai Klang ke kawasan Selangor serta menggunakan dron.

“Komander Operasi juga memaklumkan, keadaan cuaca tidak menentu di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur terutama hujan di kawasan utara.

“Keadaan itu menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan arus yang deras menyukarkan operasi penyelamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PGOKL juga memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa bersama sebuah jentera dibantu BBP Hang Tuah ke tempat kejadian.

“Setiba pasukan di lokasi, anggota mendapati, seramai12 mangsa terperangkap di bawah jambatan terdiri daripada seorang warga tempatan dan 10 lagi warga asing berjaya diselamatkan.

“Pasukan operasi telah menjalankan penyelamatan menggunakan tali namun seorang lagi mangsa belum dikenal pasti identitinya didapati hanyut dibawa arus sungai sebelum anggota tiba di lokasi kejadian,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata operasi SAR dihentikan 11 malam tadi atas faktor keselamatan kerana keadaan arus deras dan persekitaran yang gelap.

Sebelum itu, media melaporkan, seorang lelaki sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas dihanyukan kepala air berhampiran Pintasan Saloma sekitar 5.40 petang semalam.

Sazlee dilaporkan berkata, ketika kejadian terdapat 13 pekerjsa sedang bertugas di lokasi berkenan di mana 12 daripada mereka diselamatkan terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang tempatan. – MalaysiaGazette