MUAR – Polis sedang mengesan beberapa pemandu kenderaan yang menghalang laluan ambulans di Kilometer (KM) 140.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya mengambil tindakan segera memburu pemandu terbabit susulan rakaman tular video berdurasi 48 saat mengenai kejadian itu dikesan pukul 2.54 petang tadi menerusi media sosial.
“Video ini memaparkan sebuah Perodua Axia warna biru gelap, sebuah Toyota Hiace warna hitam putih serta beberapa kenderaan lain yang bergerak di lorong kecemasan menghalang laluan ambulan sedang menjalankan tugas kecemasan.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.16 petang, pada 17 November lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, keadaan trafik ketika itu sesak sepanjang 5 kilometer akibat kemalangan sebuah lori tangki di KM 141.3 lebuh raya berkenaan yang menghalang laluan utama.
Jelasnya, kesalahan masuk lorong kecemasan tanpa sebab munasabah dan menghalang pergerakan ambulan merupakan tindakan yang boleh menjejaskan operasi menyelamat serta membahayakan nyawa.
Katanya, kes disiasat bawah Rule 9(2) LN 166/59 kerana tidak memberi laluan kepada kenderaan ambulan, bomba, polis serta kastam, kenderaan pihak penjara dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ini merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau dipenjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis menggesa pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang, menghormati lorong kecemasan dan memberi keutamaan mutlak kepada kenderaan dalam kecemasan – MalaysiaGazette

