KUALA LUMPUR – Seramai 16,951 remaja hamil berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin telah direkodkan di fasiliti kerajaan berdasarkan data oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha membendung isu ini telah dilaksanakan oleh kementerian menerusi inisiatif-inisiatif yang melibatkan pelbagai aspek termasuk pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, inisiatif kaunseling serta sokongan komuniti.
Menurut beliau, antara inisiatif tersebut termasuklah membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan.
“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah.
“Tindakan bersepadu antara Kementerian berkaitan PEKERTI ini digembleng menerusi platform Majlis Sosial Negara antaranya dimasukkan sebagai program di peringkat institusi pengajian tinggi.
“Pada masa sama, pelaksanaan program PEKERTI diperluaskan di peringkat komuniti dan memperluas aktiviti promosi dan advokasi mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masduki (PH-Parit Buntar) yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut kaum dari tahun 2020 hingga terkini dan apakah langkah-langkah bagi mencegah dan mengatasi isu ini.
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, selain itu, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) menyediakan khidmat sokongan untuk remaja melalui Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.
Menurut beliau, KafeTEEN adalah inisiatif LPPKN bagi menyediakan ruang bimbingan dan pendidikan remaja bagi melahirkan remaja yang positif fizikal, mental dan pergaulan sosialnya.
Katanya, aksesibiliti khidmat sokongan remaja diperluaskan menerusi 18 buah Pusat Remaja KafeTEEN iaitu sebuah Trak KafeTEEN serta program-program di dalam komuniti dengan menyediakan perkhidmatan klinik kesihatan reproduktif, serta khidmat kaunseling psikososial.
“Perluasan program dan perkhidmatan Pusat Remaja KafeTEEN turut dilaksanakan melalui latihan peers educators yang berkemahiran dalam pendidikan kesihatan reproduktif di bawah Kelab KafeTEEN di 143 buah sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Di samping itu, Kerajaan melalui KPWKM akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu sebagai usaha memperkasakan keluarga untuk kestabilan sosial.
“Antara teras yang digariskan adalah untuk memperkasakan keupayaan perancangan keluarga menerusi usaha memperkukuhkan peranan ibu bapa dan remaja.
“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

