Liverpool tidak lagi digeruni lawan – Slot

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot, mengakui pasukannya tidak lagi digeruni lawan selepas Sunderland mencuri satu mata susulan keputusan seri 1-1 di Anfield awal pagi tadi.

Sunderland hampir mencatat kemenangan pertama di Anfield sejak tahun 1983 apabila Chemsdine Talbi membuka jaringan pada minit ke-67.

Liverpool menyelamatkan satu mata selepas Mukiele tertampan bola rembatan Florian Wirtz ke gawang sendiri pada minit ke-81.

Slot berkata pasukannya kini tidak lagi menakutkan lawan.

“Pasukan yang bertemu kami sekarang percaya mereka boleh mendapatkan keputusan. Bukan sekadar percaya kerana ia sudah terbukti musim ini.

“Malah perlawanan yang kami menang juga memberi keyakinan kepada pasukan lain bahawa sesuatu itu mungkin,” kata Slot.

Kemenangan 2-0 ke atas West Ham pada Ahad sebelum ini tidak menandakan perubahan bagi Slot.

Mohamed Salah diketepikan daripada kesebelasan utama untuk dua perlawanan berturut-turut, sementara Wirtz dan Alexander Isak gagal menunjukkan prestasi mengikut nilai pembelian mereka.

Slot menambah: “Saya sudah tahu Sunderland pasukan yang sukar dibolosi dan untuk mencipta peluang.”

Keputusan seri ini mengekalkan tekanan terhadap Liverpool yang hanya memenangi dua daripada sembilan perlawanan terakhir liga sejak lima kemenangan awal mereka. – AFP