Houthi bebaskan 10 anak kapal Eternity C ditahan sejak Julai lalu

SANAA: Kumpulan Houthi membebaskan 10 anak kapal kargo Eternity C yang ditenggelamkan di Laut Merah kerana kapal itu menuju ke Israel pada Julai lalu.

Menurut saluran televisyen Al-Masirah milik Houthi, mereka dibebaskan melalui mediasi Oman, dan sebuah pesawat membawa mereka dari Sanaa ke Muscat, petang semalam.

Serangan ke atas kapal kargo berdaftar di Liberia itu mengorbankan sekurang-kurangnya empat anak kapal dan menyebabkan kapal berkenaan tenggelam. Anak kapal yang terselamat, dipercayai warga Filipina, ditahan oleh Houthi selama hampir lima bulan.

Rakaman yang disiarkan oleh Oman TV menunjukkan anak kapal itu di ibu negara Muscat, disambut oleh pegawai Oman dan Filipina.

Sumber keselamatan Houthi memberitahu AFP, pembebasan anak kapal berkenaan adalah sebahagian daripada persetujuan untuk membawa pulang 35 rakyat Yaman yang terkandas di luar negara.

“Persetujuan dicapai dengan pihak Oman untuk kepulangan individu sakit dan cedera yang berada di luar negara. Mereka akan diserahkan kepada Sanaa, manakala kru Eternity C akan diserahkan kepada pihak Oman,” kata sumber itu.

Sementara itu, sumber politik Houthi, yang enggan dikenali kerana sensitiviti perkara itu, berkata perjanjian itu adalah hasil ‘tekanan’ dari Sanaa.

Beliau menjelaskan, pesawat Oman yang membawa kru yang dibebaskan itu turut membawa pulang individu cedera yang menerima rawatan di luar negara, serta mereka yang terkandas di negara lain.

Beliau berkata, delegasi politik Oman juga tiba di ibu negara Yaman untuk membincangkan ‘kemajuan rundingan dengan Arab Saudi mengenai kemanusiaan.’

Ketika kejadian, Houthi menyiarkan video serangan ke atas Eternity C, dengan mendakwa mereka telah ‘menyelamatkan’ sebilangan kru yang tidak dinyatakan dan membawa mereka ke lokasi selamat.

Kapal Eternity C, yang didaftarkan di Liberia adalah satu daripada dua kapal kargo yang ditenggelamkan dalam tempoh beberapa hari di Laut Merah pada Julai lalu.

Serangan itu adalah sebahagian daripada kempen Houthi terhadap lalu lintas maritim yang mereka dakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Kempen itu dilancarkan sebagai solidariti dengan warga Palestin di Semenanjung Gaza selepas meletusnya perang antara Israel dan Hamas.

Houthi tidak menuntut sebarang serangan ke atas Israel atau perkapalan sejak gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa pada Oktober lalu. – AFP