KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Perkara itu disahkan anaknya, Naim Kurniawan sebentar tadi.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut punca bapanya dimasukkan ke hospital.
Beliau memohon semua pihak mendoakan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag itu.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Naim Kurniawan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang melaksanakan solat hajat untuk bapanya.
“Selaku wakil keluarga, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh imam di Lamag yang berusaha mengadakan solat hajat serta memohon doa kepada Allah SWT demi kesihatan ayahanda saya.


“Doa dan keprihatinan imam amat kami hargai dan menjadi sumber kekuatan kami sekeluarga.
“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan-tuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mendoakan kesihatan Bung Moktar.
“Saya mendoakan agar Datuk Seri Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.
“Semoga Allah mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.
“Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya. Insya-Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook rasminya, malam ini.

