KLUANG – Seorang pemandu maut tercampak manakala dua pembantu perubatan dan seorang pesakit cedera selepas ambulans dinaiki kemalangan di kilometer 59.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II M. Nasir A. Shah berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.10 petang melibatkan sebuah ambulans dari Hospital Segamat.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 26 kilometer.
“Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) di lokasi, didapati kemalangan melibatkan ambulans berkenaan yang telah terbabas. Insiden tersebut melibatkan empat mangsa iaitu seorang pemandu lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.
“Hasil pemantauan mendapati pemandu dan seorang penumpang hadapan telah tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa yang berada di ruangan belakang tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, PKO bertindak segera mengalihkan mangsa-mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans di lokasi untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun katanya, pemandu ambulans berusia 43 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, operasi tersebut tamat pukul 2.24 petang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, mangsa sudah dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan lanjut.

