Saman tertunggak tidak jejas kelayakan subsidi BUDI95

KUALA LUMPUR – Kegagalan pemandu kenderaan menjelaskan saman tertunggak tidak akan menjejaskan kelayakan subsidi BUDI95.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol BUDI95 merupakan dua mekanisme yang berbeza dan beroperasi secara berasingan.

“Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik,” jelas beliau.

Katanya, berdasarkan dasar semasa, untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol BUDI95, pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad dan mesti memiliki lesen memandu yang aktif.

Jelas beliau, lesen memandu yang aktif merujuk kepada lesen yang masih dalam tempoh sah, atau yang tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun.

Namun, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette