Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, semua suspek antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan pada jam 3.15 petang semalam.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun pada jam 9.18 pagi kelmarin.
“Pengadu mendakwa disamun tiga lelaki tempatan menaiki kenderaan e-hailing miliknya.
“Soal siasat mendapati kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin ketika mangsa dalam perjalanan menghantar suspek pulang ke rumah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, setibanya di sebuah kawasan perumahan dekat Skudai, suspek meminta mangsa menunjukkan kod QR dengan alasan untuk membuat bayaran tambang melalui aplikasi Touch ‘N Go.
Katanya, ketika mangsa menghulurkan telefon bagi menunjukkan kod QR, suspek merampas telefon itu dan melarikan diri.
“Mangsa cuba mengejar suspek, namun tergelincir dan cedera ringan,” katanya.
Azrol Anuar berkata, polis turut membuat beberapa rampasan ketika tangkapan dibuat dan dengan penangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan dua kes iaitu samun berkumpulan dan kes kecurian yang berlaku pada hari yang sama di Taman Perling di sini.
“Semakan rekod mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing negatif dadah,” katanya.
Menurut Azrol Anuar, ketiga-tiga suspek akan direman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi perbuatan
jenayah dan mematuhi undang-undang.
Sumber : Harian Metro

