KUALA LUMPUR – Atomy Malaysia Sdn Bhd. menegaskan, Mahkamah Tinggi tidak pernah memutuskan bahawa Atomy Co Ltd Korea terlibat dalam aktiviti kristianisasi seperti yang dilaporkan oleh media hari ini.
Pasukan Pengurusan Atomy Malaysia dalam kenyataan berpendirian, berita yang tersebar secara dalam talian itu tidak benar kerana isu tersebut tidak pernah dibawa ke hadapan mahkamah ketika perbicaraan.
Menurut kenyataan tersebut, mahkamah juga tidak membuat sebarang dapatan fakta bahawa Atomy Malaysia Sdn Bhd atau Atomy Co Ltd Korea terlibat dalam aktiviti Kristianisasi atau apa-apa aktiviti yang tidak wajar.
“Dakwaan bahawa Mahkamah Tinggi memutuskan Atomy Co Ltd Korea terlibat dalam aktiviti kristianisasi adalah tidak benar.
“Keputusan Mahkamah Tinggi adalah berdasarkan sepenuhnya kepada pemakaian pembelaan undang-undang tertentu, bukan satu penentuan kehakiman bahawa dakwaan kristianisasi atau salah laku tersebut adalah benar.
“Sebarang kenyataan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak tepat dan mengelirukan serta menyalahgambarkan keputusan mahkamah,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Atomy Malaysia merujuk kepada kenyataan yang tersebar dalam talian yang menyentuh keputusan Mahkamah Tinggi yang disampaikan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak saman Atomy Malaysia Sdn. Bhd. terhadap penceramah bebas Firdaus Wong yang didakwa memfitnahnya berkaitan kegiatan kristianisasi.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi berpuas hati, Firdaus Wong selaku defendan berjaya membuktikan pembelaan justifikasi serta komentar berpatutan.
Sehubungan itu, mahkamah menolak keseluruhan tuntutan yang dikemukakan oleh Atomy Malaysia (plaintif) dan memutuskan kemenangan berpihak kepada defendan.
Kenyataan itu menyatakan, Atomy Malaysia akan merayu keputusan tersebut menjadikan penghakimah Mahkamah Tinggi belum muktamad.
Ujarnya, Atomy Malaysia kekal komited sepenuhnya terhadap amalan perniagaan yang sah di sisi undang-undang, beretika dan telus.
Pihak syarikat menasihatkan orang ramai supaya hanya bergantung kepada maklumat yang tepat dan dikeluarkan melalui saluran rasmi Atomy Malaysia, serta menahan diri daripada menyebarkan tafsiran yang mengelirukan terhadap keputusan mahkamah. – MalaysiaGazette

