Hari ini, sudah 56 tahun kita meninggalkan Tragedi 13 Mei yang menggegarkan negara apabila rusuhan antara kaum menggoncangkan Kuala Lumpur selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU3) diumumkan. Dalam insiden berdarah yang membawa kepada pengisytiharan darurat itu, lebih 100 orang terbunuh walaupun ada angka tidak rasmi mendakwa ia jauh lebih tinggi. Kita menyaksikan negara mengambil masa lama untuk pulih termasuk memperkenalkan Rukun Negara.
Hampir enam dekad kemudian, tidak ada kejadian separah 13 Mei dan jika ada bibit-bibit yang mencetuskan api membakar sentimen kaum, ia cepat dipadamkan. Tragedi itu walaupun menjadi detik hitam dalam sejarah negara yang baru mencapai kemerdekaan, menjadi peringatan kepada semua pihak menyelesaikan sebarang sengketa mengikut lunas perundangan dan semangat keharmonian. Rukun Negara keempat, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan menjadi antara mantera untuk meredakan suhu kepanasan baik di Kampung Rawa pada 1998 mahupun Kampung Medan pada 2001.
Namun dalam kita beringat, ada juga peristiwa menguji seperti Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman yang mengorbankan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. Meskipun inkues memutuskan kematian ‘Wira Merah’ disebabkan perbuatan dua hingga tiga individu, identiti mereka sehingga kini tidak dapat dikenal pasti untuk dibawa ke muka pengadilan. Bagaimanapun, kita perlu akui ia memberikan pengajaran pedih hingga isu membabitkan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran berjaya diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan harmoni.PauseNextMute
Kita perlu mengakui Malaysia jauh bernasib baik berbanding ‘jiran sepelaung’ yang mengalami sejarah lebih hitam sama ada rusuhan massa di Indonesia atau pemberontakan di Selatan Thai atau rusuhan kaum dan perang saudara di pelbagai negara yang menyaksikan daripada puluhan ribu menjadi mangsa hingga penghapusan etnik.
Bagaimanapun, apa sahaja boleh berlaku jika kita tidak mengambil langkah tepat memadamkan bibit yang mula membakar emosi dan mencari penyelesaian holistik, bukan dengan menyapu ke bawah permaidani atau menutup terus suara kritikan yang mempunyai asas. Apa yang kita tuntut ialah kebijaksanaan pemimpin, kecekapan pihak berkuasa, kebertanggungjawaban institusi dan kewarasan rakyat.
Dalam hal ini, Perlembagaan Persekutuan perlu dijadikan ibarat pohon besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar. Rukun Negara pula bukan hanya untuk diulang ikrar pada perhimpunan sekolah atau kementerian dan program rasmi, sebaliknya dihayati serta diterjemahkan dalam kehidupan semua.
Malah, rukun Kesopanan dan Kesusilaan bukan sahaja perlu dijadikan mantera dalam memadamkan bibit-bibit perkauman sama ada sengaja dipercikkan atau memang berpunca salah faham, sebaliknya dalam perhubungan antara semua tidak kira sesama kaum dan generasi atau merentas perbezaan budaya dan gaya hidup.
Kita tidak mahu dalam beringat untuk memelihara keharmonian antara kaum, kita terlupa dengan insiden kekerasan dan keganasan yang berlaku bukan disebabkan perbezaan bahasa serta agama, bahkan antara rakyat sama keturunan.
Justeru, konsep Kesopanan dan Kesusilaan perlu diperluas maknanya supaya kematian tragik pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak berulang atau insiden seorang pelajar Tingkatan Lima dibelasah beramai-ramai akibat salah faham di Paroi menjadi ‘wabak’ kepada budaya keganasan menjadi ‘cara menyelesaikan masalah’.

