Kalah kepada Thailand amat perit – Moses Raj

BANGKOK: Tonggak pertahanan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Moses Raj menyifatkan kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand pada aksi separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2025, semalam sebagai keputusan yang perit.

Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh lebih 70 minit pada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok itu selepas pemain pertahanan, Aiman Yusuf Nabil dilayangkan kad merah ketika perlawanan memasuki minit ke-16.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara gagal melangkah ke perlawanan akhir dengan Moses mengakui kegagalan menyudahkan peluang menjadi faktor utama Harimau Malaya B-23 tewas kepada Thailand.

“Pada perlawanan itu kami ada peluang tetapi gagal menyudahkannya. Walaupun selepas kad merah, kami tetap berjuang 100 peratus. Semua pemain memberikan segala-galanya di atas padang dan kami berusaha keras, cuma tidak dapat menjaringkan gol,” katanya.

Berdepan kesukaran selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Moses turut mengakui skuad negara mengharungi perlawanan yang berintensiti tinggi pada aksi separuh akhir itu.

“Intensiti perlawanan sangat tinggi, satu tahap yang sudah lama saya tidak hadapi. Saya memberikan segala-galanya yang termampu untuk pasukan, tetapi kami masih perlu memperbaiki aspek pertahanan dan serangan jika mahu bersaing dengan pasukan seperti Thailand,” katanya.

Malah, pemain berusia 20 tahun itu mengakui kekalahan kepada Thailand amat menyakitkan kerana dia merasakan Harimau Malaya B-23 mempunyai peluang untuk mara ke pentas akhir.

“Ini pasukan negara dan tidak dapat membawa Malaysia ke final adalah satu perkara yang amat perit. Namun, kami terpaksa terima kerana kami bertanggungjawab. Kami gagal menjaringkan gol, gagal menyudahkan peluang. Kami ambil ini sebagai satu pengajaran,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Filipina, Khamis ini, Moses percaya keupayaan menyesuaikan diri dengan taktikal dan mengharungi perlawanan berintensiti tinggi akan menjadi kunci kejayaan pasukan.