Pelajar UUM hasilkan aplikasi interaktif belajar bahasa Mandarin

SINTOK: Kesukaran mempelajari bahasa asing mendorong pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menghasilkan aplikasi “NihaoNow” untuk memudahkan pembelajaran bahasa Mandarin.

Aplikasi mudah alih multimedia inovatif itu direka secara interaktif bagi membantu pelajar menguasai bahasa Mandarin dengan lebih mudah.

Pelajar Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM, Sim Yie Tieng, pembangunan aplikasi “NihaoNow” bermula dengan tinjauan dalam kalangan pelajar Melayu, India dan antarabangsa yang mengakui mereka sukar mempelajari bahasa Mandarin secara kaedah tradisional.

“Hasil tinjauan itu mendapati, 87 peratus daripada mereka yang menyertai soal selidik mengakui sukar menguasai perbendaharaan kata dan sebutan dalam bahasa Mandarin manakala, 75 peratus lagi bergelut menyebut perkataan Mandarin “hanyu pinyin” dengan tepat.

“Mereka menyatakan kekangan masa menjadi cabaran utama dalam pembelajaran bahasa Mandarin secara kuliah tradisional. Ia menyebabkan mereka tidak dapat mempraktikkan struktur ayat dan nada yang betul,” katanya.

Oleh demikian, beliau berkata, aplikasi itu menjadi alat sokongan pembelajaran kendiri untuk pelajar menguasai bahasa Mandarin mengikut masa sendiri kerana “NihaoNow” boleh diakses pada bila-bila masa.

Aspek itu menjadikan aplikasi interaktif ini sangat sesuai dan menepati gaya hidup seorang pelajar universiti.

Beliau juga berkata, pembangunan aplikasi itu menggunakan prinsip pembelajaran multimedia Mayer dan mengintegrasikan elemen visual, audio dan teks secara serentak untuk mengurangkan beban kognitif pengguna.

Selain itu, model reka bentuk berasaskan konsep ADDIE atau analisis, reka bentuk, pembangunan, pelaksanaan dan penilaian bagi menghasilkan aplikasi berkualiti tinggi.

Sementara itu, Penyelia Pembangunan Projek “NihaoNow”, Dr Hammuzamer Irwan Hamzah berkata, antara ciri menarik aplikasi itu adalah penggunaan kad imbas digital lengkap imej dan dwibahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) bagi memudahkan pelajar bukan penutur jati memahami bahasa Mandarin lebih mudah.

“Aplikasi turut dilengkap bantuan audio sebutan iaitu setiap perkataan disertakan audio suara sebenar bagi memastikan pelajar dapat mendengar dan meniru intonasi yang betul. Elemen permainan turut diterapkan supaya sesi pembelajaran tidak membosankan dan menjadikan pengguna lebih bermotivasi,” katanya.

Pembangunan aplikasi dilaksanakan dengan kos sifar kerana ia memanfaatkan perisian sumber terbuka seperti Figma untuk reka bentuk dan melalui fasa pengujian pengguna secara sukarela dalam kalangan pelajar UUM.

Pengguna memberi reaksi positif terutama penggunaan kad imbas bersuara dapat membantu mereka lebih mudah mengingat perkataan baharu berbanding kaedah hafalan.

Kejayaan pembangunan “NihaoNow” membuktikan bahawa mahasiswa tempatan mampu menghasilkan alat bantu mengajar bermutu dan relevan dengan keperluan semasa.

Penambahbaikan masa hadapan yang dirancang adalah integrasi chatbot untuk latihan perbualan dan ciri jejak kemajuan harian.

Inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan pendidikan negara, malah menyuburkan semangat perpaduan melalui pemahaman silang budaya dan bahasa dalam kalangan mahasiswa berbilang kaum.

Selain itu, penguasaan bahasa ketiga bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar dan mahasiswa tetapi menjadi satu keperluan kritikal untuk mereka menceburi pasaran tenaga kerja global.

Menerusi penggunaan teknologi, ia membolehkan pembelajaran bahasa asing lebih mudah secara interaktif untuk pengguna.