Bayern didenda lebih RM500,000, penutupan sebahagian stadium

MUNICH: Bayern Munich muncul kelab paling teruk dikenakan tindakan disiplin dalam pengumuman terkini Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) awal pagi tadi, didenda 116,000 euro (RM556,800) dan penutupan sebahagian stadium bagi perlawanan Liga Juara-Juara berikutnya di laman sendiri.

Bayern dikenakan tindakan kerana menghalang laluan awam dan membakar bunga api ketika menentang Sporting Lisbon awal bulan ini.

Akibatnya, UEFA memerintahkan pelaksanaan hukuman yang sebelum ini digantung, yang mengakibatkan penutupan sebahagian sektor 111 hingga 114 di Allianz Arena bagi perlawanan UEFA di gelanggang Bayern seterusnya – menentang Union Saint-Gilloise pada 21 Januari ini.

Bayern turut dikenakan penutupan sebahagian tambahan seluruh Tribun Selatan bagi perlawanan berikutnya, namun penutupan tambahan itu digantung untuk tempoh percubaan dua tahun.

Denda tambahan dikenakan selepas kekalahan Bayern di tempat lawan menentang Arsenal bulan lalu.

UEFA mengenakan denda 40,000 euro (RM192,000) kerana gangguan penyokong dan balingan objek, serta 30,000 euro (RM144,000) kerana “menyiarkan mesej tidak sesuai untuk acara sukan.”

Sementara itu, badan kawalan, etika dan disiplin UEFA turut memerintahkan pelaksanaan hukuman yang digantung ke atas Eintracht Frankfurt, melarang kelab Jerman itu menjual tiket kepada penyokong mereka bagi perlawanan di tempat lawan yang seterusnya.

Frankfurt dikenakan tindakan selepas penyokong mereka membaling objek, menyalakan suar dan menyebabkan kerosakan di Camp Nou ketika tewas 1-2 kepada Barcelona minggu lalu.

Perlawanan mereka yang seterusnya adalah menentang Qarabag di Azerbaijan.

Frankfurt didenda 38,000 euro (RM182,400) secara keseluruhan dan diberi 30 hari untuk menghubungi Barcelona bagi membaiki kerosakan yang dilakukan penyokong mereka di tandas sektor pelawat. – REUTERS