Kes amang seksual di sekolah agama, polis terima satu laporan mangsa baharu

KUALA LUMPUR: Polis menerima satu lagi laporan baharu terhadap suspek yang dipercayai terbabit kes seorang murid menjadi mangsa amang seksual di sebuah sekolah agama di Kampung Pandan di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan itu daripada keluarga mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada jam 1 tengah hari semalam.

“Kes berkenaan masih dalam siasatan dan suspek juga masih dalam reman (untuk membantu siasatan). Terdapat satu lagi laporan membabitkan seorang mangsa baharu dan suspek yang sama.

“Laporan dibuat keluarga mangsa dan kita menjalankan siasatan yang sama terhadap suspek,” katanya selepas Majlis Prihatin Insani Bersama Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, polis merakam keterangan enam saksi bagi membantu siasatan kes seorang murid menjadi mangsa amang seksual di sebuah sekolah agama di Kampung Pandan di sini.

Sebelum itu, seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga tenaga pengajar sekolah agama di Kampung Pandan di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes seorang murid menjadi mangsa amang seksual.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada jam 4.16 petang 16 Disember lalu.

Fadil berkata, pihaknya berharap orang awam dapat tampil bekerjasama dengan polis kerana perkara seumpama itu memerlukan bantuan masyarakat terutama mereka yang mempunyai maklumat berkaitan.

Sementara itu, Fadil menyatakan penghargaan atas kerjasama Yayasan Al-Izuddin (YAIZ), MedicAid dan Sri Ternak dalam menyantuni warga polis Kuala Lumpur dalam kalangan kurang kemampuan serta mereka yang ada anak istimewa pada program berkenaan.