ROM: Sembilan individu ditahan selepas didakwa terbabit membiayai kumpulan Hamas melalui badan kebajikan yang berpangkalan di Itali.
Pendakwa Raya Itali semalam memaklumkan penahanan itu dibuat dalam satu operasi yang diselaraskan unit antimafia dan antikeganasan.
“Suspek yang dituduh menjadi ahli dan telah membiayai kumpulan (pejuang) Palestin itu yang diklasifikasikan oleh Kesatuan Eropah (EU) sebagai sebuah pertubuhan pengganas,” menurutnya dalam kenyataan.
Pihak pendakwa memberitahu, mereka yang ditahan dituduh menyalurkan kira-kira 7 juta euro (RM33.3 juta) kepada entiti yang berkaitan dengan Hamas, iaitu dana dikumpulkan sepanjang dua tahun lalu kononnya bagi tujuan kemanusiaan.
Rentetan itu, polis turut menyita aset bernilai lebih 8 juta euro (RM38.1 juta).
Siasatan bermula selepas mendapati berlaku transaksi kewangan mencurigakan, lantas kerjasama diperluaskan melalui pihak berkuasa Belanda serta negara EU lain dan diselaraskan menerusi agensi kehakiman kesatuan itu, Erojust.
Sementara itu, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, berterima kasih kepada pihak berkuasa atas operasi yang amat kompleks dan penting apabila berjaya membongkar aktiviti pembiayaan kepada Hamas, melalui apa yang digelar sebagai pertubuhan kebajikan.
Tiada maklum balas segera daripada Pejabat Perdana Menteri Israel susulan penahanan itu.
Sokongan Meloni terhadap Israel semasa perangnya dengan Hamas di Palestin mencetuskan protes jalanan besar-besaran dan berulang kali di Itali. – REUTERS

