KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), melalui pengumumannya, malam tadi.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Penerangan parti, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Mereka mengesahkan Muhyiddin memaklumkan mengenai perkara itu, melalui kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, pada jam 10.30 malam tadi.
Bagaimanapun, mereka tidak menyatakan sebab perletakan jawatan itu.
Dipercayai peletakan jawatan itu ada kaitan dengan pelbagai desakan pemimpin PAS terhadap kepemimpin Muhyiddin dalam PN susulan krisis politik di Perlis, baru-baru ini.

