LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan “secara aktif mencari” cara menambah kekuatan skuad mereka ketika jendela perpindahan musim sejuk kali ini.
The Gunners mungkin kehilangan hingga empat tonggak pertahanan bagi perlawanan penting menentang Aston Villa yang sedang meningkat di Emirates awal pagi esok.
Jurrien Timber, Riccardo Calafiori, Ben White dan Cristhian Mosquera semua tidak beraksi ketika Arsenal menang ke atas Brighton Sabtu lalu yang mengekalkan mereka dua mata di depan pesaing kejuaraan, Manchester City di tangga teratas liga.
Arsenal membelanjakan lebih £250 juta (RM1.37 bilion) bagi membeli lapan pemain baharu ketika jendela perpindahan musim panas lalu dan Arteta bersedia untuk membawa masuk pemain tambahan bulan depan.
“Jendela perpindahan ada dan maksud saya, kami adalah Arsenal dan kami perlu memerhatikannya – ‘Baik, apa yang kami perlukan?’ dan kami perlu secara aktif melihatnya, kemudian sama ada boleh atau tidak, itu cerita lain,” kata Arteta, dengan kelab utara London itu berhasrat menjulang kejuaraan England buat pertama kali sejak 2004.
Pengurus dari Sepanyol itu menambah: “Tetapi tugas kami adalah sentiasa bersedia kerana sesuatu boleh berlaku, jadi harapnya ia akan menjadi positif.
“Jika kita lihat kelab lain, mereka mempunyai 24 atau 25 pemain skuad. Walaupun kami menghadapi lebih banyak kecederaan daripada jangkaan, sebahagiannya tidak dapat dielakkan, kami mahu lebih baik dan kami tahu betapa pentingnya memiliki pemain yang tepat musim ini.”
Villa menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam liga sepanjang 11 perlawanan dengan kemenangan 2-1 pada masa kecederaan ke atas pasukan Arteta pada 6 Disember lalu.
Kelab Birmingham itu, yang baru sahaja mencatat rekod 11 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, akan melangkah ke perlawanan awal pagi esok menyedari satu lagi kemenangan akan membolehkan mereka menyamakan mata dengan Arsenal. – AFP

