KUALA LUMPUR: Tiga penambahbaikan dasar dan produk dilaksanakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa esok bertujuan memperkukuh kecukupan simpanan persaraan, memperluas liputan perlindungan sosial dan menambah baik pengalaman ahli secara keseluruhan.
Unit Editorial dan Hal Ehwal Media Jabatan Hal Ehwal Korporatnya berkata, semua inisiatif itu merangkumi langkah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu.
Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan KWSP untuk memenuhi keperluan ahli yang semakin berubah, selain menyokong daya tahan kewangan jangka panjang.
“Antara inisiatif utama ialah peningkatan had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 bagi membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH).
“Selain itu, keperluan pengesahan baki simpanan dalam akaun TH turut dimansuhkan bagi mempermudah proses permohonan dan membolehkan ahli membuat perancangan kewangan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, KWSP juga akan memperkenalkan i-Saraan Plus iaitu kemudahan caruman sukarela yang dikhususkan untuk pemandu e-hailing dan p-hailing bagi memperkukuh simpanan persaraan mereka.
“Berlandaskan program i-Saraan sedia ada, i-Saraan Plus menawarkan insentif padanan kerajaan yang lebih tinggi sehingga RM600 setahun tertakluk kepada had seumur hidup sebanyak RM6,000.
“Pemandu e-hailing dan p-hailing yang layak akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform yang mengambil bahagian yang juga akan membantu melaksanakan potongan caruman pada kadar ditentukan sendiri oleh pemandunya.
“Selain itu, umur kelayakan program i-Suri akan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun selaras umur persaraan minimum negara,” katanya.
Sementara itu, insentif padanan kerajaan bagi i-Suri juga akan diteruskan pada 2026 dengan kadar 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.
Katanya, berkuat kuasa esok juga, KWSP menyelaraskan skim Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) dengan tiga tahap simpanan iaitu Simpanan Asas (RM390,000), Simpanan Mencukupi (RM650,000) dan Simpanan Dipertingkatkan (RM1.3 juta) sebagai panduan kepada ahli dalam merancang persaraan yang lebih selesa dan bermakna.
“Selaras tahap Simpanan Dipertingkatkan, KWSP akan menambah baik dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta bagi membolehkan ahli berumur di bawah 55 tahun menikmati fleksibiliti dalam mengurus lebihan simpanan selepas keperluan persaraan dipenuhi.
“Bagi memastikan peralihan teratur, peningkatan had lebihan simpanan yang boleh dikeluarkan ahli di bawah pengeluaran ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kenaikan RM100,000 setiap tahun di sepanjang tempoh tiga tahun bermula dengan RM1.1 juta pada 2026 untuk memberi masa kepada ahli merancang kewangan mereka sewajarnya,” katanya.
Katanya, pada masa sama, KWSP turut menyelaras penentuan kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) selaras tahap Simpanan Asas.
“Kuantum simpanan minimum bagi kelayakan SPA akan dikemas kini secara berperingkat bagi memastikan lebihan simpanan digunakan untuk pelaburan tidak menjejaskan keperluan asas persaraan ahli.
“Langkah ini mencerminkan komitmen KWSP untuk menggalakkan perancangan persaraan lebih mampan, seimbang dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
“Secara keseluruhan, pelarasan ini adalah langkah pelaksanaan Rangka Kerja RIA yang diumumkan pada 2024, sekali gus mencerminkan komitmen KWSP untuk mengimbangi akses fleksibel dengan perlindungan jangka panjang terhadap simpanan ahli selari dengan kos sara hidup semasa,” katanya.
Katanya, KWSP juga memperbaharui nama kemudahan caruman sukarelanya dengan memperkenal i-Simpan bagi Caruman Pilihan Sendiri dan i-Topup bagi Caruman Melebihi Kadar Berkanun (Voluntary Excess).

