Soon Huat-Shevon mara sekalipun kurang cergas

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengetepikan masalah kesihatan sebelum melangkah ke pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini.

Pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena, gandingan pilihan kelapan itu dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pasangan Taiwan, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin 15-21, 21-19, 21-14 dalam tempoh 56 minit.

Kemenangan itu dianggap cukup berharga memandangkan Shevon tidak berada pada tahap kecergasan terbaik selepas mengalami keracunan makanan semalam.

Soon Huat mengakui aksi pembukaan itu berlangsung sengit kerana mereka bergelut mencari rentak, ditambah pula dengan keadaan fizikal Shevon yang lemah akibat muntah-muntah dan kurang tidur.

“Perlawanan agak sengit sebab keadaan pasangan saya hari ini tidak berapa bagus. Sejak set pertama kami masih mencari momentum dan rentak, apatah lagi lawan dari Taiwan ini adalah gandingan baharu, jadi kami agak lambat membaca permainan mereka.

Shevon Lai Jemie (kiri) membalas pukulan lawan dari Taiwan sementara gandingannya Goh Soon Huat memerhati pada pusingan pertama Terbuka Malaysia. – Foto NSTP/Aswadi Alias
Shevon Lai Jemie (kiri) membalas pukulan lawan dari Taiwan sementara gandingannya Goh Soon Huat memerhati pada pusingan pertama Terbuka Malaysia. – Foto NSTP/Aswadi Alias

“Sebenarnya semalam, tengah malam baru bermula gejala, dia (Shevon) muntah-muntah mungkin disebabkan keracunan makanan. Saya juga menjaganya sepanjang malam dan kami berdua tidak cukup tidur, jadi hari ini kami agak letih,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Mengulas mengenai kebangkitan selepas tewas set pertama, Soon Huat berkata dia terpaksa mengubah corak permainan dengan bekerja lebih keras untuk melindungi pasangannya itu di tengah gelanggang.

Pada pusingan kedua esok, Soon Huat-Shevon akan bertemu beregu Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai yang menewaskan Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India 15-21, 21-18, 15-21.