CARACAS: Pemimpin interim Venezuela, Delcy Rodriguez, menegaskan tiada kuasa asing yang mentadbir negaranya, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan Caracas akan segera menyerahkan jutaan tong minyak kepada negaranya.
Rodriguez, yang sebelum ini menjadi timbalan presiden di bawah Nicolas Maduro, memberi isyarat berbelah bahagi mengenai tahap kerjasama beliau dengan Trump yang kadang-kadang bersifat kompromi mahupun tegas.
Tiga hari selepas pasukan khas AS menangkap Maduro dan isterinya dalam serbuan mengejut di Caracas, Rodriguez berkata: “Kerajaan Venezuela adalah pihak berkuasa di negara kami, tiada siapa yang lain boleh mengawal. Tiada ejen asing yang mentadbir Venezuela,” katanya.
Trump menegaskan Washington kini “mengawal” negara Caribbean itu, tetapi memaklumkan beliau bersedia bekerjasama dengan Rodriguez, dengan syarat pemimpin itu memberi akses kepada rizab minyak Venezuela yang besar.
Trump mengumumkan di platform Truth Social bahawa Rodriguez “akan menyerahkan antara 30 hingga 50 juta tong minyak berkualiti tinggi” kepada AS.
“Minyak ini akan dijual pada harga pasaran dan wang itu akan dikawal oleh saya sebagai presiden,” kata Trump, sambil menugaskan Setiausaha Tenaga, Chris Wright, untuk melaksanakan rancangan itu “segera”.
Rodriguez menawarkan isyarat damai tetapi berusaha memastikan penyokong tegas yang mengawal pasukan keselamatan dan paramiliter kekal di pihaknya.
“Kami adalah rakyat yang tidak menyerah, kami rakyat yang tidak putus asa,” katanya.
Negara itu kini mengadakan tujuh hari berkabung bagi mereka yang terkorban.
Tentera Venezuela semalam mengesahkan 23 anggota terkorban termasuk lima jeneral.
Cuba pula mengesahkan 32 anggota tentera mereka terbunuh, kebanyakan daripada pasukan keselamatan peribadi Maduro.
Bilangan korban awam masih belum disahkan, walaupun Pendakwa Raya Tarek William Saab menyebut “berpuluh” orang awam dan tentera maut tanpa pecahan lanjut.

