‘PAS sekali lagi mohon terajui PN’

KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi memohon diberi peluang menerajui Perikatan Nasional (PN) selepas Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Gesaan itu dikemukakan oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang antara lain mahu parti itu menerajui PN sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam kenyataan di Facebook hari ini, juga menghargai keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang menerima pengunduran Muhyiddin daripada jawatan Pengerusi PN.

“Alhamdulillah keputusan cukup baik daripada mesyuarat MPT BERSATU yang menerima dengan terbuka hasrat Muhyiddin untuk berundur daripada jawatan Pengerusi PN.

“Insya-Allah, PN akan bergerak ke hadapan. Berikan PAS peluang mengemudi teraju PN (bagi) menghadapi PRU16. Kita bangkit mara ke Putrajaya,” kata bekas Ketua Pemuda PAS itu.

Terdahulu, BH melaporkan MPT BERSATU menerima keputusan itu selepas mendengar hujah Muhyiddin mengenainya pada mesyuarat yang diadakan malam tadi.

Mesyuarat itu juga membincangkan hala tuju PN dalam persiapan PRU16 untuk maju ke hadapan dengan dasar sederhana, progresif dan prihatin rakyat.

MPT antara lain mengambil pendirian untuk BERSATU kekal sebagai rakan berprinsip, konsisten dan setia dalam PN serta kerjasama itu akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan itu.

Mereka juga kesal kerana ada pihak melempar fitnah BERSATU mengkhianati persefahaman dalam PN, susulan krisis politik di Perlis, selain menafikan pembabitan dalam isu kepemimpinan di negeri itu.