Warden penjara maut digilis lori simen brek rosak

MELAKA – Seorang warden Jabatan Penjara Malaysia maut digilis sebuah lori simen yang dipercayai mengalami masalah brek ketika motosikal ditunggang sedang berhenti lampu isyarat Lebuh SPA dekat persimpangan pusat pelupusan sampah Sungai Udang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42, maut akibat digilis lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian wanita itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan.

“Pada sama sama, datang sebuah lori simen dipandu lelaki berusia 49 tahun dari arah sama yang dipercayai mempunyai masalah brek, mengelak ke bahu jalan sehingga merempuh motosikal dan menggilis mangsa.

“Akibatnya, kaki mangsa hancur, selain parah anggota badan serta bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anggota bomba dari Balai Bomba Masjid Tanah yang bergegas ke lokasi nahas telah membantu mengeluarkan mayat mangsa di bawah lori.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Nahas maut ini dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi brek lori dan kejadian turut dirakam saksi melalui kamera papan pemuka kenderaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori negatif dadah dan lelaki berusia 49 tahun itu akan direman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi ini,” tambahnya.

Christopher berkata, kenderaan terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan kerosakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette