HULU SELANGOR: Tindakan segelintir pemandu kereta mewah dan penunggang motosikal berkuasa tinggi menjadikan laluan Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua, Batang Kali, di sini, sebagai ‘litar’ bagi menguji kehebatan kenderaan memberi padah apabila mereka ditahan menerusi Ops Samseng Jalanan, hari ini.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor bermula jam 7 hingga 10 pagi itu menyaksikan sebanyak 40 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata operasi diadakan bagi mengekang dan mencegah kesalahan lalu lintas di kawasan terbabit.
“Antara kesalahan dilakukan adalah memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Bagaimanapun, tiada sitaan dan tiada pemandu ditahan dalam operasi ini,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Faizal berkata, pemantauan mendapati Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua menjadi tumpuan konvoi pemandu dan penunggang motosikal dengan sebahagiannya membawa secara berbahaya.
“Setakat ini polis belum menerima aduan ada pihak yang berlumba namun akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Pemandu dan penunggang motosikal diingatkan supaya bawa kenderaan dengan sebaik mungkin, patuh undang-undang lalu lintas dan jangan pentingkan diri sendiri,” katanya.