Kepala air: Bomba selamatkan 25 individu terperangkap

KUALA LUMPUR: Seramai 25 orang yang mendaki bukit terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Pisang, Selayang, Gombak, 1.40 tengah hari tadi.

Mangsa berusia antara 20-an hingga 40-an dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Selayang.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata, pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh mangsa selepas mereka terperangkap akibat kejadian kepala air sekitar jam 1.41 tengah hari.

“Anggota bomba melalui kawasan denai sejauh 300 meter dari tepi Lebuh Raya Karak, untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa terperangkap kerana air yang terlalu deras dan anggota bomba membawa mereka ke laluan selamat,” katanya kepada BH hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi menyelamatkan selesai jam 3.26 petang dan tiada individu cedera.