Pertembungan Salah-Mane curi tumpuan

TANGIER: Sadio Mane dan Mohamed Salah akan bertembung di separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.

Senegal diterajui Mane menewaskan Mali yang bermain 10 orang, manakala Mesir dibintangi Salah mengatasi juara bertahan Ivory Coast untuk menempah pertembungan sengit itu.

Kedua-dua pemain itu dianggap antara bintang terbaik Liverpool sepanjang zaman, namun tempoh mereka sebagai rakan sepasukan sebelum ini diselubungi ketegangan di atas padang.

Mane, yang menghabiskan enam tahun di Liverpool sebelum menyertai Al-Nassr di Arab Saudi, mengenang insiden Liga Perdana Inggeris 2019 menentang Burnley apabila Salah enggan menghantar bola kepadanya, sekali gus menimbulkan kemarahan pemain sayap Senegal itu.

Mengulas hubungan mereka dalam temu bual bersama Rio Ferdinand baru-baru ini, Mane merendah diri tentang persaingan di luar padang.

“Pemain hebat. Pemain baik. Semua orang kata sama, biasanya. Saya pendiam, tetapi saya mesra dengan semua orang dalam pasukan.

“Saya rasa Mo juga seorang yang baik. Di atas padang, kadang-kadang dia bagi bola kepada saya, kadang-kadang tidak… Saya masih ingat satu perlawanan apabila saya sangat marah kerana dia tidak memberikan bola kepada saya, sepatutnya dia buat,” kata Mane.

Pertemuan separuh akhir ini adalah yang pertama buat mereka di AFCON sejak Senegal menewaskan Mesir dalam final edisi 2021 di Cameroon.

Mane terlepas penalti awal tetapi menebusnya dengan menjaringkan sepakan penalti kemenangan, sekali gus menafikan peluang Salah mengambil sepakan terakhir Mesir.

Mereka bertemu semula dalam kelayakan Piala Dunia 2022, di mana Mane sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti penentu selepas Salah gagal menyempurnakan sepakan pertamanya.

Mane dan Salah masing-masing memenangi anugerah Pemain Afrika Terbaik sebanyak dua kali.

Namun, Salah masih belum memenangi trofi AFCON, selepas tewas dalam dua final sebelum ini, dan akan berusaha untuk menamatkan impiannya kali ini.

Pemenang pertembungan separuh akhir ini akan bertemu sama ada tuan rumah Maghribi atau Nigeria di final. – AGENSI