NATO, Greenland ikrar kukuhkan keselamatan Artik susulan ancaman Trump

NUUK: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Greenland bekerjasama memperkukuhkan pertahanan wilayah autonomi Denmark itu, bagi menghalang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, cuba merampas pulau itu.

Trump sejak beberapa tahun lalu sering menyuarakan idea untuk mendapatkan wilayah Artik itu, dan ketegangan semakin memuncak pada Ahad lalu apabila beliau menegaskan AS akan melakukannya dengan apa cara sekalipun.

Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, berkata keselamatan dan pertahanan pulau itu terletak di bawah NATO, iaitu pakatan ketenteraan 32 negara yang didominasi AS.

“Kerajaan akan berusaha memastikan pembangunan pertahanan di dalam dan sekitar Greenland dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan NATO, menerusi dialog bersama sekutu kami termasuk AS serta dengan kerjasama Denmark.

“Kerajaan tidak boleh menerima dalam apa juga keadaan sekalipun, pengambilalihan Greenland oleh AS,” katanya.

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, turut memberi amaran sebarang serangan bersenjata AS ke atas Greenland akan menandakan berakhirnya NATO.

“Bagaimanapun, Denmark tidak menghadapi sebarang masalah sekiranya terdapat kehadiran ketenteraan AS yang lebih besar di pulau itu,” katanya.

Ini memandangkan, Denmark giat menggerakkan usaha diplomatik, dengan pertemuan antara wakil Denmark dan Greenland bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijangka berlangsung minggu ini.

Pangkalan Angkasa Pituffik milik tentera Amerika Syarikat (AS) di Greenland. – Foto AFP
Pangkalan Angkasa Pituffik milik tentera Amerika Syarikat (AS) di Greenland. – Foto AFP

Sementara itu, Ketua NATO, Mark Rutte, berkata pakatan itu sedang mengusahakan langkah seterusnya bagi memperkukuh keselamatan di Artik.

Diplomat NATO berkata, beberapa negara anggota pakatan mencadangkan pelancaran misi baharu di rantau itu, namun setakat ini belum ada cadangan konkrit dikemukakan.

Dalam usaha meredakan kebimbangan Washington, Copenhagen turut melabur besar dalam aspek keselamatan di rantau itu, dengan memperuntukkan kira-kira AS$14 bilion (RM56.85 bilion) pada 2025.

Greenland, yang mempunyai kira-kira 57,000 penduduk, turut menempatkan sebuah pangkalan tentera AS.

Sementara itu, Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen, memuat naik sekeping gambar pertemuannya dengan rakan sejawat dari Greenland, Vivian Motzfeldt.

Denmark dilaporkan mahu menampilkan pendirian bersatu bersama pemimpin wilayah autonomi itu sebelum pertemuan dengan wakil AS.

Media Denmark minggu lalu melaporkan mengenai sidang video yang tegang antara ahli Parlimen Denmark dan rakan sejawat mereka dari Greenland berhubung cara berunding dengan Washington.

Greenland, yang menjadi tanah jajahan Denmark sehingga 1953, memperoleh pemerintahan sendiri 26 tahun kemudian dan kini sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan hubungan dengan Denmark pada masa depan.

Tinjauan pendapat menunjukkan rakyat Greenland menentang keras sebarang pengambilalihan oleh AS. – AFP